norhayati_nordin @hmetro.com.my
Lirik lagu Ewal AF & Zeha - Sayang Sayang (OST Sayang) - OST Sayang Bersiar-siar dalam belon udara panas Ku lihat laut indah putih pasir pantai Bila ku senyum Dan memandangmu Kau sibuk main Instagrammu Bila kena bebel Buat muka comel Walau tengah marah ku ters.
PEMBABITAN kumpulan Kristal dalam bidang muzik bermula sejak di alam persekolahan. Begitu juga dengan penyanyi Ewal Ismail, 27, yang mengatur langkahnya menceburi kerjaya seni ketika kanak-kanak.
Seiring perjalanan waktu, sama ada Kristal mahupun Ewal, mereka sudah melalui pelbagai pengalaman manis dan pahit dalam perjuangan muzik masing-masing. Namun, minat tak pernah pudar.
Kini, Kristal dan Ewal bergabung dan sudah muncul dengan single pertama berjudul Bosan ciptaan Ejai Aziz. Mereka mengharapkan lagu Bosan diterima baik pendengar.
Dengan kehadiran Ewal sebagai penyanyi, Kristal kini lengkap kembali dengan empat anggota di samping Rody (gitar), Kechiq (bass) dan Acap (dram).
Bersua Kristal pada sesi fotografi diatur MVM Music baru-baru ini, kelihatan keserasian mereka cukup terserlah. Masing-masing boleh bergurau, saling berbincang untuk hala tuju serta berkomunikasi dengan baik dan profesional.
Ewal berkata, apa yang paling diutamakan Kristal sekarang adalah meneruskan perjuangan muzik mereka sehingga berjaya dan mahu terus kekal relevan.
'Saya sedia berjuang dengan Kristal kerana kami memiliki matlamat yang sama. Kami mahu terus berkarya dalam bidang muzik dengan berkongsi pelbagai idea segar yang mampu mengukuhkan lagi jenama Kristal. Dengan kehadiran single Bosan ini, kami mahu peminat Kristal dan pendengar muzik menilai hasil kerja yang dibuat tanpa perlu membandingkan dengan penyanyi terdahulu.
'Saya boleh saja terima perbandingan yang dibuat kerana sebelum menyertai Kristal lagi, saya tahu perkara 'banding-membanding' ini akan muncul. Saya lebih selesa bersikap matang dan positif,' katanya yang juga pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim ke-11 pada 2014.
Menurut Ewal, dia tidak ambil peduli dengan perbandingan dibuat segelintir warganet.
Katanya, itu hak mereka nak tulis komen apa tetapi dia lebih fokus pada kritikan membina bagi memperbaiki segala kekurangan.
Jika sebelum ini Kristal pernah berhadapan masalah pengunduran penyanyi, Ewal pula mahu kekal berjuang dengan kumpulan itu selama mana yang diizin Allah.
'Dalam fasa kerjaya saya sekarang, bukan populariti yang terlalu difikir atau nak kejar walaupun ia perlu. Kini bersama Kristal, saya hanya mahu karya lagu kami diterima pendengar. Selama saya aktif menyanyi, banyak komen yang diterima antaranya saya dikatakan tiada identiti diri dan sebab itu tak boleh pergi jauh.
'Apa yang pasti, saya boleh menyanyi pelbagai genre lagu. Oleh itu, saya melihat kebanyakan orang suka membuat penilaian berdasarkan populariti dimiliki seseorang penyanyi. Jika kurang popular, bermakna penyanyi itu belum berjaya,' katanya.
Yakin jiwa muziknya ada bersama Kristal, Ewal berkata, untuk menempa kejayaan itu perlukan masa. Dia mahu bertahan meneruskan perjuangan bersama Kristal yang cukup sinonim dengan rock.
Ewal pilihan tepat
Kehidupan perlu diteruskan, apatah lagi rezeki Kristal dalam industri muzik masih ada. Jadi, perancangan baharu yang lebih baik harus dibuat.
Selepas Kecik yang pernah menganggotai Hyper Act undur diri sebagai penyanyi Kristal, keputusan itu diterima baik. Malah, Kristal sudahpun ada penyanyi baharunya, Ewal.
Mengulas pemilihan Ewal, Rody berkata, mereka sudah kenal lama dan pernah membuat persembahan bersama.
'Saya melihat Ewal adalah calon tepat untuk bersama kami meneruskan perjuangan muzik ini. Selama kenal Ewal pun, saya tahu perjalanannya. Apapun, saya suka dengan Ewal kerana dia seorang yang suka mencuba. Pada saya, dia ada karisma tersendiri dan minat yang besar dalam muzik. Malah, vokalnya juga bagus.
'Sejak Ewal bersama Kristal pada hujung tahun lalu, saya dapati kami boleh kongsi pelbagai idea, vokalnya serasi dengan Kristal dan komunikasi sesama kami juga sangat baik. Selain itu, komitmen Ewal pada kerja pun kami selesa. Dia memberikan sepenuh kerjasama dan yang pasti Ewal boleh menyanyi pelbagai genre lagu. Bagi saya, gabungan kami ini tepat,' katanya.
Lagu Bosan kini boleh diperdengarkan menerusi pelbagai pelantar muzik digital, manakala video muzik di YouTube yang diancar sekitar tiga minggu lalu sudah mencatat lebih 90,000 tontonan.